Pemandu lori ditahan tunjuk isyarat lucah pada polis bantuan

 


Petaling Jaya: Seorang pemandu lori ditahan semalam, selepas mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota polis bantuan yang bertugas di pos kawalan Jalan SS 21/39, Uptown Kota Damansara di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan di tempat letak kereta di Seksyen 8 di sini, jam 2.30 petang selepas menerima laporan daripada anggota berkenaan.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 2.30 petang kelmarin, apabila dua lelaki yang menaiki lori menggunakan laluan ditutup bagi tujuan kawalan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), untuk menurunkan tong gas.

"Anggota polis bantuan itu menegur mereka kerana menggunakan laluan berkenaan.

"Suspek kemudiannya mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah," katanya hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan awal, suspek tidak mengaku terbabit dalam kejadian itu.

Semakan rekod mendapati suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau.

"Suspek direman tiga hari. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan," katanya.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel