Isu video panas angkat Aiman


KUALA LUMPUR: Penyanyi Relaku Benci, Aiman Tino, 22, tetap menghargai usaha peminatnya, biarpun tidak berjaya membolosi kategori utama Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33.

Tetap berpuas hati dan bersyukur, Aiman atau nama sebenarnya, Mohammad Aiman Yusri diangkat sebagai Artis Kontroversi Popular, ABPBH 33 menerusi kategori online.

Aiman berkata, kemenangan itu menjadi tanda sokongan peminat, justeru tiada alasan untuknya mempertikaikan.

"ABPBH adalah anugerah besar. Jadi, saya tetap berbangga apabila memenangi kategori Artis Kontroversi Popular. Saya tahu peminat tetap berusaha bagi memastikan kemenangan saya.

"Jujurnya, saya dapat melihat semangat berbeza apabila saya membolosi kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia dan dan Artis Kontroversi Popular.

"Saya tahu nama berjaya membolosi pencalonan ABPBH 33 pun menerusi peminat. Alhamdulillah, mereka sangat menyokong dan berusaha habis-habisan mengundi.

"Ini adalah anugerah pertama saya menerusi ABPBH 33, jadi pastinya ia menjadi satu kenangan manis," katanya kepada BH Online.

Menerusi kategori Artis Kontroversi Popular, Aiman mengenepikan calon lain seperti Nur Fathia Abdul Latiff, Zul Ariffin dan Syafiq Kyle.

Tahun lalu, Aiman pernah dikaitkan dengan kontroversi video lucah yang didakwa mirip rupanya. Video berkenaan tersebar sehingga mencetuskan perdebatan peminat dalam laman sosial.

Bagaimanapun, Aiman menafikan, dia adalah individu dalam video yang tersebar itu. Kontroversi video panas itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap semangat dan kerjaya seninya.

Aiman seterusnya meminta semua pihak tidak memanjangkan isu video panas berkenaan dan turut memohon maaf kepada dan peminatnya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjayanya, Aiman berkata, dia sedang menyiapkan dua single terbaharu yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Satu single sudah siap, manakala satu lagi akan memulakan rakaman, tidak lama lagi. Single ini adalah hasil ciptaan Ikhwan Fatanna. Insya-Allah, peminat akan dapat mendengar genre yang berbeza daripada single lalu.

"Mengikut perancangan, ia akan dikeluarkan sekitar Disember depan," katanya.

Dalam masa yang sama, Aiman juga baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri fiksyen, Felora Azania.

Ditanya sama ada ini laluannya untuk menjadi artis versatil, Aiman tidak menolak percubaan itu.

"Ketika pandemik COVID-19, kita boleh lihat sukar untuk penyanyi mengadakan persembahan, melainkan menerusi atas talian. Jadi, berlakon adalah cara saya mengisi masa terluang, Lakonan juga antara cabang seni yang saya minat, tak salah untuk menerokai dengan lebih mendalam," katanya.

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel